Semua ibubapa mahukan anak mereka cepat belajar dan menjadi lebih pintar dari usia sebenar mereka. Semua ibubapa mengharapkan anak mereka menjadi seorang yang genius. Namun adakah kita bersedia untuk menghadapi ke"genius"an mereka?
Abdullah sudah mampu bercakap menyebut nama-nama benda sejak usianya lebih kurang 1 tahun. Pada usia 1 tahun setengah dia sudah pintar membuat ayat lengkap. Dalam usia begitulah saya mulai kadangkala terlepas, memarahi dia apabila dia melakukan pelbagai kesalahan.
Mungkin kerana apabila dia sudah mulai pandai bercakap, secara tidak langsung kita akan mulai menganggap dirinya sudah besar, dan seharusnya bertanggung jawab terhadap kesalahan yang dia lakukan. Dengan bertambahnya satu sisi kebijaksanaan anak maka bertambahlah anggapan dari diri kita bahawa dia sudah besar, sedangkan mungkin pada sisi yang lain dia masih seperti kanak-kanak biasa.
Seorang anak yang sudah pandai bercakap selalu dianggap sudah pandai berfikir dan mampu membezakan antara baik dan buruk. Sedangkan di dalam islam sekalipun usia mumayyiz iaitu pandai membezakan antara baik dan buruk biasanya diletakkan pada usia 7 tahun. Sebelum usia tersebut anak-anak masih belum lagi dapat berfikir dengan sebaiknya.
Sewaktu Abdullah dalam usia lebih kurang 1 tahun setengah. Saya duduk berbual dengan abdullah, saya tanyakan dia, "Abdullah, mak ndak baik tak?", "Mak ndak tak baik, mak ndak garang." laju jawapan itu keluar dari mulut Abdullah. "Kalau umi baik tak?", "Umi baik, comel..." huhu, pecah ketawa saya... "Kenapa umi baik?" "Sebab umi tak marah abdullah."
Rupa-rupanya dia masih banyak belum memahami apa maksud perkataan yang keluar dari mulutnya sendiri. Di usia begini dia masih seperti burung kakak tua yang belajar berkata-kata. Jawapannya adalah jawapan tipikal seperti apa yang pernah dia belajar atau dengar. Bagi anak-anak, seorang yang baik itu adalah orang yang tidak memarahi dirinya, selalu memberikan apa yang dia mahu, dan petanda seorang itu tidak baik adalah orang itu garang. Itulah dunia mereka.
Di dalam al-Qur'an, Allah SWT berfirman: "Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya." (ali-imran:159)
Di dalam mendidik masyarakat pun seorang pendakwah harus bersikap lemah lembut, apatah lagi dalam mendidik anak sendiri. Bukanlah lemah lembut bermakna langsung tidak memarahi, akan tetapi selalulah memaafkan. Tegurlah dengan kasih sayang. Dan bersabarlah, kerana walaupun mereka sudah pandai berkata-kata, belum tentu mereka memahami apa yang mereka perkatakan. Bimbang andai akhirnya anak hanya mengerti bahawa ibunya sudah tidak lagi menyayanginya.
Abdullah suka sangat meneroka apa sahaja yang berada di sekelilingnya. Pantang leka sebentar, ada sahaja barang yang dia rosakkan. Kalau dia mahukan sesuatu, letaklah barang tu setinggi mana pun, dia akan panjat. Kalau tak sampai, jangan risau, kerusi kan ada? dia akan tarik kerusi dari ruang tamu sebagai alat untuk membantu dia memanjat. Huhu... letih.
Anak yang pintar akan sentiasa ingin tahu, ingin rasa, ingin cuba semua benda yang ada. Dan kita pun tahu, lagenda Thomas Edison yang mencipta mentol lampu, dikatakan telah gagal 9999 kali sebelum berjaya di dalam eksperimennya. Maka dalam eksperimen yang anak kita lakukan, memang akan lebih banyak eksperimen yang gagal berbanding eksperimen yang berjaya. Persoalannya adakah kita mampu bertahan dengan keadaan sedemikian?
by: ummu_abdullah ( Saturday, 15 August 2009 22:35 )
Friday, June 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 mannis:
Post a Comment