Friday, June 25, 2010

Benarkah kita ingin anak genius?

Semua ibubapa mahukan anak mereka cepat belajar dan menjadi lebih pintar dari usia sebenar mereka. Semua ibubapa mengharapkan anak mereka menjadi seorang yang genius. Namun adakah kita bersedia untuk menghadapi ke"genius"an mereka?

Abdullah sudah mampu bercakap menyebut nama-nama benda sejak usianya lebih kurang 1 tahun. Pada usia 1 tahun setengah dia sudah pintar membuat ayat lengkap. Dalam usia begitulah saya mulai kadangkala terlepas, memarahi dia apabila dia melakukan pelbagai kesalahan.
Mungkin kerana apabila dia sudah mulai pandai bercakap, secara tidak langsung kita akan mulai menganggap dirinya sudah besar, dan seharusnya bertanggung jawab terhadap kesalahan yang dia lakukan. Dengan bertambahnya satu sisi kebijaksanaan anak maka bertambahlah anggapan dari diri kita bahawa dia sudah besar, sedangkan mungkin pada sisi yang lain dia masih seperti kanak-kanak biasa.

Seorang anak yang sudah pandai bercakap selalu dianggap sudah pandai berfikir dan mampu membezakan antara baik dan buruk. Sedangkan di dalam islam sekalipun usia mumayyiz iaitu pandai membezakan antara baik dan buruk biasanya diletakkan pada usia 7 tahun. Sebelum usia tersebut anak-anak masih belum lagi dapat berfikir dengan sebaiknya.
Sewaktu Abdullah dalam usia lebih kurang 1 tahun setengah. Saya duduk berbual dengan abdullah, saya tanyakan dia, "Abdullah, mak ndak baik tak?", "Mak ndak tak baik, mak ndak garang." laju jawapan itu keluar dari mulut Abdullah. "Kalau umi baik tak?", "Umi baik, comel..." huhu, pecah ketawa saya... "Kenapa umi baik?" "Sebab umi tak marah abdullah."
Rupa-rupanya dia masih banyak belum memahami apa maksud perkataan yang keluar dari mulutnya sendiri. Di usia begini dia masih seperti burung kakak tua yang belajar berkata-kata. Jawapannya adalah jawapan tipikal seperti apa yang pernah dia belajar atau dengar. Bagi anak-anak, seorang yang baik itu adalah orang yang tidak memarahi dirinya, selalu memberikan apa yang dia mahu, dan petanda seorang itu tidak baik adalah orang itu garang. Itulah dunia mereka.

Di dalam al-Qur'an, Allah SWT berfirman: "Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya." (ali-imran:159)
Di dalam mendidik masyarakat pun seorang pendakwah harus bersikap lemah lembut, apatah lagi dalam mendidik anak sendiri. Bukanlah lemah lembut bermakna langsung tidak memarahi, akan tetapi selalulah memaafkan. Tegurlah dengan kasih sayang. Dan bersabarlah, kerana walaupun mereka sudah pandai berkata-kata, belum tentu mereka memahami apa yang mereka perkatakan. Bimbang andai akhirnya anak hanya mengerti bahawa ibunya sudah tidak lagi menyayanginya.

Abdullah suka sangat meneroka apa sahaja yang berada di sekelilingnya. Pantang leka sebentar, ada sahaja barang yang dia rosakkan. Kalau dia mahukan sesuatu, letaklah barang tu setinggi mana pun, dia akan panjat. Kalau tak sampai, jangan risau, kerusi kan ada? dia akan tarik kerusi dari ruang tamu sebagai alat untuk membantu dia memanjat. Huhu... letih.

Anak yang pintar akan sentiasa ingin tahu, ingin rasa, ingin cuba semua benda yang ada. Dan kita pun tahu, lagenda Thomas Edison yang mencipta mentol lampu, dikatakan telah gagal 9999 kali sebelum berjaya di dalam eksperimennya. Maka dalam eksperimen yang anak kita lakukan, memang akan lebih banyak eksperimen yang gagal berbanding eksperimen yang berjaya. Persoalannya adakah kita mampu bertahan dengan keadaan sedemikian?

by: ummu_abdullah ( Saturday, 15 August 2009 22:35 )

Tuesday, June 8, 2010

Tips Untuk Rasa Lebih Tenang.

* Untuk rasa lebih tenang dan tenteram, berhentilah berharap pada orang lain. Sebab kalau kita berharap pada orang, nanti kita akan kecewa apabila harapan kita tu tak ditunaikan.

*Kita ni memang biasanya suka sangat meletakkan harapan dan berhajat pada pertolongan orang, terutamanya apabila dalam kesulitan.

*Ini silap besar, Islam tak ajar kita berharap pada makhluk.

*Islam menyuruh kita hanya meletakkan sepenuh harapan pada Allah. Sebab hanya Allah lah yang dapat membantu kita.

*Setiap hari, kita berikrar dalam solat setidak-tidaknya 17 kali mengatakan “Hanya kepada Allah kita sembah, dan kepada Allah sajalah kita mohon pertolongan.”

*Habis, apa perlunya lagi kita berharap dan meminta bantuan daripada manusia lain? Sedangkan manusia itu pun berharap pada Allah juga.

*Apabila kita berharap pada orang lain, orang yang kita harapkan tu tak dapat tunaikan hajat kita, maka kita pasti kecewa, kita bengang dan kita akan terasa hati. Sedangkan itu semua adalah salah kita. Siapa suruh kita berharap pada makhluk? Itulah akibatnya…

*Jadi untuk berasa lebih tenang dan bahagia, BERHENTILAH BERHARAP KEPADA MAKHLUK, sebab itu semua hanya akan menyesakkan dada dan menyakitkan jiwa. Kita pasti akan berasa sedih dan kecewa apabila harapan kita tidak ditunaikan.

*Sebaliknya, berharaplah pada Allah. Letakkan sepenuh harapan padaNYA dan yakinlah bahawa Allah pasti akan menunaikan hajat kita. Tak cepat, lambat. Kalau bukan di sini, insyaAllah di akhirat nanti Allah balas.

*Kalau pun, Allah tak tunaikan hajat kita, jangan sedih jangan gulana. Anggap sajalah bahawa Allah tak tunaikan hajat kita kerana mungkin disebabkan oleh kelemahan dan dosa-dosa yang kita telah lakukan.

*Yang penting, kita kena BERHENTI LAH BERHARAP PADA ORANG LAIN sebab ianya hanya akan mengecewakan hati anda. Percayalah. Saya dah banyak kali kecewa dan berkecil hati, sebab orang lain tak dapat tunaikan harapan saya. Sedangkan semua itu bukan salah mereka. Sebaliknya saya lah yang silap sebab mudah berharap pada orang lain. Akibatnya, saya yang kecewa dan kecil hati tak tentu pasal.

*Namun kini, saya hidup lebih tenang dan tenteram. Saya rasa lebih bahagia apabila saya berhenti berharap pada orang. Sebaliknya saya hanya mengharapkan bantuan dan pertolongan Allah pada saya. Saya yakin hanya Allah saja yang mampu bantu dan tolong selesaikan semua masalah dan tunaikan segala hajat keinginan saya. Alhamdulillah, saya rasa lebih tenang, aman, tenteram dan lebih bahagia….
Newer Posts Older Posts Home