Wednesday, March 31, 2010

Buka Minda Untuk Merancang

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada rakan-rakan sekalian, hari ini saya ingin menceritakan berkenaan diri kita yang kurang atau tidak merancang dalam urusan kewangan. Ramai diantara kita gagal dalam merancang urusan kewangan kita. Gaji yang masuk tiap-tiap bulan habis tidak tahu kemana, yang selalu kita fikirkan adalah “aku rasa bulan ini aku kurang gunakan duit, tapi kenapa duit aku habis jugak”. Adakah ayat ini yang bermain di minda anda setiap hujung bulan??

Sedarlah, jika anda masih muda rangcanglah kewangan anda sebaiknya kerana ketika inilah kita mempunyai sumber pendapatan dan anda tidak tahu apa akan terjadi dimasa hadapan. Walaupun masa ini kita seorang manager di kilang yang berpendapatan besar, namun kita mesti fikirkan jika kilang kita suatu hari nanti akan mengalami kerugian atau ditutup, apa akan terjadi pada diri kita?? Ingin mencari kerja baru banyak persaingan yang perlu ditempuhi, lebih-lebih lagi anda terpaksa bersaing dengan golongan muda yang lebih kretif dan bijak dari anda. Ingat, untuk pekerja swasta, anda sangat mudah untuk dibuang kerja jika sesuatu berlaku kepada syarikat anda. Ia tidak dapat diduga, saya sendiri pernah merasainya dan tiada kebaikan pun daripadanya dan sekarang saya bekerja disektor kerajaan yang lebih selamat. Walaupun pendapatan kita kecil tapi jika kita bijak menyesuaikannya dengan taraf kehidupan kita, InshaAllah pendapatan itu mencukupi. Yang penting sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada dan bijak menguruskan kewangan anda. Tidak perlulah berkereta besar jika ia hanya membebankan diri kita untuk membayarnya. Itu belum termasuk kos insuran dan kos penyelenggaraan. Fikirkan semua aspek itu dahulu sebelum membuat pilihan kerana nilai kereta akan sentiasa susut ditelan peredaran waktu.

Zaman dahulu ibu bapa kita selalu memberitahu kita “ambik duit nie buat belanja, ada lebih simpan dalam tabung”, disinilah kesilapan berlaku, ada duit lebih baru nak menabung. Sepatutnya sekurang-kurangnya anda hendaklah memperuntukkan 10% hingga 30% bagi yang sudah mempunyai hutang dan 50% hingga 70% bagi yang masih belum mempunyai hutang daripada pendapatan bulanan anda untuk tujuan simpanan ini. Jadi latihlah anak kita supaya menabung dahulu baru berbelanja, itulah jalan paling selamat untuk kebebasan kewangan. Janganlah membiarkan anak-anak kita juga mengikuti langkah kita yang sudah tersilap dalam pengurusan kewangan. Jika kita ajar mereka dari kecil menabung dulu baru berbelanja, InshaAllah sikap itu akan terbawa-bawa hinggalah mereka dewasa. Ingat, kita yang mendidik anak-anak kita, jadi jalankan tanggungjawab itu dengan baik, jangan menyesal dikemudiaan hari.

Dilain hari saya akan kongsikan tips-tips kewangan dan penjimatan yang boleh anda lakukan untuk memaksimumkan simpanan anda. Sekian terima kasih.

Thursday, March 25, 2010

HUKUM BENANG HITAM DI TANGAN BAYI

Soalan

MENJADI kebiasaan atau kelaziman di kampung saya, apabila terdapat kanak-­kanak menghadapi masalah kesihatan khususnya yang kerap menangis lebih daripada biasa, dibawa kepada perawat, lalu tangannya diikat dengan benang hitam atau benang berwarna lain, dengan pelbagai warna sebagai ikhtiar untuk perlindungan daripada pelbagai gangguan. Apakah rawatan dan amalan seperti ini diharuskan oleh syarak?

SHAMSIAH ABU BAKAR
Jerantut



Jawapan OLEH DATO' DR HARON DIN

Saya sendiri pernah melihat perbuatan seperti itu dan sudah banyak kali kanak-kanak yang pada tangannya dipakaikan benang dibawa kepada saya untuk dirawat, Saya dengan bahasa yang penuh diplomasi meminta supaya benang hitam atau sebagainya termasuk tangkal, hendaklah dibuang dahulu sebelum saya mengikhtiarkan rawatan.

Amalan dan kelaziman yang disebut dalam soalan tadi, sebenarnya berten­tangan dengan ajaran Islam. Banyak hadis yang memberi penjelasan, antaranya hadis yang bermaksud: "Uqbah Ibnu ‘Amir berkata, ‘Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, barang siapa yang meng­gantung tangkal (Damimah) maka Allah SWT tidak akan menyempurnakan hajat­nya dan barang siapa yang menggantung objek seperti kulit siput (Wada'ah), maka Allah tidak akan menenteramkannya.'"

Jelas daripada hadis ini Nabi s.a.w. melarang sebarang penggunaan tangkal. Tangkal dirujuk kepada benang, tali atau apa sahaja yang dipakai pada badan, untuk tujuan mendapat faedah yang diharamkan kepada orang yang memakainya.

Dalam hadis lain (mahfumnya ): Rasulullah s.a.w. telah lihat ada satu lilitan seperti gelang (halaqah) yang dipakai di tangan seorang lelaki, lalu baginda bertanya lelaki itu, ‘Apakah yang kamu pakai ini? "Lelaki itu menjawab, "Aku jadikannya sebagai pendinding atau pengadang diriku daripada sebarang kelemahan."

"Lalu baginda bersabda kepadanya, ‘Sesungguhnya benda-benda seperti ini, tidak akan menambahkan kepada mu melainkan kelemahan jua, buanglah ia kerana sesungguhnya, sekiranya kamu mati dalam keadaan memakai benda seperti ini, kamu akan diserahkan kepada benda itu." (Hadis riwayat ‘Imran bin Hussain dan Imam Ahmad Ibni Hambal).Dalam hadis lain (mafhumnya): "Dan Abu Bashir al-Ansari meriwayatkan, pada suatu ketika beliau telah bersama dengan Rasulullah s.a.w. dalam satu perjalanan dengan menunggang unta, maka baginda melihat ada unta-unta yang dipakaikan tangkal kepada unta tersebut.
"Lalu baginda memerintahkan kepada kami, agar apa sahaja rantai, kalungan (qilaadah) yang terdapat pada mana-mana unta hendaklah dipotong dan dibuang." (Hadis riwayat aI-Bukhari dan Muslim).

Sebab utama mengapa Nabi s.a.w. memerintah dilakukan demikian, sebab utamanya seperti yang disebut oleh Imam Ibnu Jauzi iaitu, orang-orang Arab mem­percayai bahawa dengan memakai tangkal pada unta, akan selamat daripada gangguan. Kepercayaan sedemikian boleh membawa kepada syirik, samalah dengan persoalan yang dikemukakan tadi.

Ingatlah bahawa dengan mengikat benang hitam pada lengan kanak-kanak, atau membuat tangkal dengan simpulan benang pelbagai warna dipakai di leher atau di pinggang kanak-kanak atau orang tua­-tua, atas kepercayaan ia boleh memberi manfaat kepada manusia, kesemuanya dilarang.

Terdapat dalam hadis lain Nabi saw. menyebut (mafhumnya): "Sesiapa yang mengikat simpulan benang lalu meniup kepada benang itu dan dipakai, maka dia telah syirik kepada Allah SWT."
Oleh yang demikian maka eloklah dihentikan amalan-amalan seperti itu.
Waalahu a'lam.

(Petikan dari Harakah Bil.1335)

Komentar ustaz Zaharuddin (www.zaharuddin.net) :

Perkara karut dan syirik seperti ini sememangnya amat banyak dalam masyarakat. bagi saya, ia adalah salah satu punca kerapuhan iman umat Islam yang akhirnya dengan mudah tertarik kepada harta haram dan seks bebas.

Media tidak terkecuali mempelopori kesyirikan dan kekarutan ini melalui cerita yang ditayangkan. Selain itu, apabila ada sahaja kisah orang meninggal, maka media akan temuramah si ibu bapa atau keluarga berkenaan perkara pelik yang dilakukan oleh si mati sebelum menemui ajal, alalu didedahkanlah konnnya si mati sebelum itu muram, ada juga yang kata, dia tak pernah mandi awal, tiba-tiba pagi semalam mandi awal, rupanya tanda nak mati dan lain-lain. INI SEMUA KHURAFAT KARUT SERTA BOLEH MEMBAWA SYIRIK.!
Baca juga bentuk-bentuk kepercayaan karut dan syirik seperti rama-rama masuk rumah, tangan gatal tanda dapat duit, sebelah mata bergerak tanda nak mati dalam tempoh tertentu, cawan pecah tanda perkara buruk akan berlaku dan banyak lagi.

Friday, March 19, 2010

7 Tips Pendidikan Anak

1. Jaga hubungan dengan Allah.

Sebaik mana pun pendidikan yang kita berikan kepada anak-anak kita, akhirnya yang menentukan anak kita termasuk orang-orang yang mendapat hidayah atau tidak adalah Yang Maha Memiliki segala-galanya. Maka tugas kita sebagai ibubapa adalah berusaha sedaya-upaya, seterusnya berserahlah kepada Allah SWT sebagai penentu segala-galanya.

(17:15) Barang siapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barang siapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.

Innaka la tahdi man ahbabta…


2. Didik lah anak

Berbuat tetapi salah adalah lebih baik dari tidak pernah salah kerana tidak berbuat. Salah dalam berbuat boleh diperbaiki, tetapi salah kerana tidak mahu berbuat atau kurang berbuat tak mungkin dapat diperbaiki.

Berikan masa anda untuk mendidik anak. Berikan tenaga anda untuk mendidik anak. Berikan harta anda dalam usaha mendidik anak. Kerana kenyataannya ramai orang yang gagal adalah disebabkan gagal berbuat bukannya salah dalam berbuat.

(9:105) Dan katakanlah, Beramallah kamu sesungguhnya Allah, Rasul, dan orang-orang yang beriman akan menyaksikan amalan kamu. Dan amalan itu akan dikemabalikan…


3. Mulakan seawal-awal nya

Pendidikan anak bermula dari pemilihan pasangan lagi.

Dan orang-orang yang berkata : “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami dari isteri-isteri kami dan keturunan kami kesenangan hati, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”( QS. Al-Furqan : 74 )

Dapatkan wanita yang beragama, (jika tidak) niscaya engkau merugi” (HR.Al-Bukhari dan Muslim)

Kemudiannya tatkala di dalam kandungan lagi, kita telah diajarkan untuk memulakan pendidikan anak dari hadith berikut :

“Sesungguhnya Allah membebaskan separuh shalat bagi orang yang bepergian, dan (membebaskan) puasa bagi orang yang bepergian, wanita menyusui dan wanita hamil” (Hadits riwayat Abu Dawud, At Tirmidzi dan An Nasa’i. Kata Al Albani dalam Takhrij al Misykat: “Isnad hadits inijayyid’ )

Apatah lagi di awal usia kelahiran.

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasalam apabila dihadapkan kepada beliau anak-anak bayi, maka beliau mendo’akan keberkahan bagi mereka dan mengolesi langit-langit mulutnya (dengan korma atau madu )” ( Hadits riwayat Muslim dan Abu Dawud).


4. Jaga hubungan dengan isteri/suami

Pasangan kita adalah sumber kekuatan kita, pasangan adalah penyejuk hati kita, pasangan adalah orang yang akan menentukan suasana rumah tangga nantinya akan menjadi rukun dan damai atau kelam kabut. Jagalah hubungan dengan pasangan anda lebih dari orang lain, siapapun dia.


5. Seseorang akan dilayan sebagaimana dia melayan orang lain. Jadi jika anda ingin dilayan dengan baik, maka layanlah orang lain dengan baik. walaupun bunyinya mudah tapi amat sukar untuk dilakukan.


6. Garbage in garbage out (kalau memasukkan sampah maka hasilnya juga adalah sampah).

Ahli psikologi mengatakan penipuan yang diulang-ulangkan akan diterima oleh otak sebagai kebenaran. Ambil contoh televisyen, yang sentiasa ditayangkan kepada anak-anak kita, menanamkan perlunya percintaan sebelum perkahwinan, akhirnya menjadi suatu kepercayaan umum masarakat.


7. Ikatan paling kukuh antara manusia adalah ikatan cinta.

Ada sebuah hadith menyatakan, "Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang paling penyayang kepada keluarganya. Dan aku adalah orang yang paling penyayang terhadap keluargaku“

Pada suatu hari Umar menemukan Rasulullah saw merangkak di atas tanah, sementara dua orang anak kecil berada di atas belakangnya. Umar berkata:"Hai anak, alangkah baiknya rupa tungganganmu itu." Rasulullah SAW menjawab:"Alangkah baiknya rupa para penunggangnya"

Disebabkan penyayangnya dan kecintaan baginda saw, ummat di bawah pendidikan dan pemerintahan baginda akhirnya menjadi ummat yang paling hebat di dunia. Tanamkanlah cinta antara dirimu dengan ahli keluargamu bukannya ketakutan dan kegerunan antara mereka dengan kita.

fikir-fikirkanlah..

Wednesday, March 10, 2010

Doa Elak Daripada Dirogol atau Dicabul

Assalammualaikum semua. Disini ada disertakan doa dari hadis sohih pelindung setiap kali keluar rumah untuk para wanita dan juga para gadis diluar sana. Dipetik dari web Ustaz Zaharuddin
Iaitu :-

رَسُولَ اللَّهِ يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ

DALAM SEBUTAN RUMI : BISMILLAH ALLAZI LA YADURRU MA'ASMIHI SYAIUN FIL ARDI WA LA FIS SAMAIE , WAHUWAS SAMI'UL 'ALIM

Ertinya : Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa : "Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui" sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya" ( Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan - Teks doa berwarna Merah Syeikh Syuaib ; Hasan)

Ingin saya utarakan satu lagi doa sohih yang dibaca oleh isteri Nabi Ibrahim a.s (iaitu Siti Sarah) yang menyebabkan para lelaki zalim termasuk rajanya melarikan diri, saya sertakan sekali sumber rujukannya dari hadis Nabi s.a.w.

اللّهُمَّ اِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ اني آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فرجي إِلاَّ على زوجي فَلاَ تُسَلِّطْ عَلَىَّ
الْكَافِرَ
DALAM SEBUTAN RUMI : ALLAHUMMA IN KUNTA TA'LAMU INNI AAMANTU BIKA, WA BIRASULIKA WA AHSONTU FARJI ILLA 'ALA ZAWJI FALA TUSALLIT 'ALAYYA AL-KAFIR WA AZ-ZALIM

Ertinya : Ya Allah, jika engkau mengetahui bahawa aku beriman kepada Mu dan Rasul Mu, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim" ( Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih )

Semoga ia dapat dihafaz dan di amalkan oleh semua wanita Muslimah, Cuma jangan lupa bahawa doa ini bersoifat tawassul dengan amal soleh anda, iaitu apabila diikat dengan imannya dengan Allah s.w.t dan RasulNya dan telah dijaga kehormatannya dan sudah tentu auratnya.Justeru, seolah-olah kemaqbulan doa ini juga diikat tentang kewajiban untuk beriman dengan Allah dan rasulNya dan menutup aurat anda. Tanpanya, doa ini masih amat digalakkan untuk dilakukan, cuma jaminan seolah-olah lebih pasti bagi yang apa yang dikatanya (dalam doa ini) menepati apa yang sebenarnya penampilan fizikal anda.Justeru, jika berbaju kebaya terbelah, baju sendat menampakkan susuk tubuh, berpakaian nipis seolah telanjang, bersolek canggih seperti artis bukan Islam..sudah tentu doa ini sahaja belum cukup mampu menjaga anda. Bukan kerana Allah s.w.t tidak mampu, tetapi Allah s.w.t tidak anggap wanita itu layak dek kerana kedegilannya sendiri.

Fikirkanlah...

Monday, March 8, 2010

Fahami Bagaimana Inflasi Boleh Berlaku

Assalammualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada rakan-rakan sekalian. kali ini saya cuba membuka minda anda tentang konsep matawang pula. Fahamilah erti sebenar matawang Fiat dan tujuannya diwujudkan. bagaimana inflasi boleh berlaku. Artikel dibawah sangat sesuai untuk bacaan kita supaya dapat membuka minda kita tentang apa erti sebenar WANG dan sistem keewangan kita sekarang ini. Selamat membaca.


Punca Gawat & Matawang Emas Akan Gagal Jika
- Kembalikan Fungsi Asal Matawang -
- Pemain forex pemusnah system matawang -
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/



Tidak dinafikan sistem kewangan Islam yang wujud hari ini masih banyak kelemahan dan kekurangannya. Dari pelbagai jenis sudut, sama ada dari sudut rangka kewangan dunia yang mengcengkam, system perundangan yang banyak kalanya tidak bersedia dan tidak menepati, pemegang saham perbankan Islam yang ‘tidak' ihsan serta terlalu mengejar keuntungan, sistem perkomputeran dan pengiraan yang masih lagi ‘terpaksa' mengikut rentak majoriti yang konvensional, produk perbankan Islam yang masih terbawa-bawa kehendak pelanggan berminda konvensional, pelanggan yang terlalu ‘demand' kesempurnaan pada praktis perbankan Islam tetapi diri sendiri terlalu jahil tentang Fiqh Muamalat dan kewangan moden hingga akhirnya menjadi racun kepada umat Islam, sistem matawang fiat yang direka, dicipta dan diatur tidak dengan cara yang betul dan panjang lagi senarainya jika ingin saya kongsikan di sini.

Dari senarai panjang tersebut, hanya satu yang ingin dikongsikan bersama dalam tulisan ringkas padat ini. Iaitu topik berkaitan sistem pengendalian matawang yang menyukarkan perubahan untuk melahirkan system kewangan Islam yang terbaik. Kesalahan pengendalian dan regulasi matawang hari ini telah diakui oleh begitu ramai pakar dari kalangan Muslim dan bukan Islam sebagai salah satu punca berlakunya kegawatan demi kegawatan.

Di dalam Forum Kewangan Dunia di Geneva 2010, baru-baru ini, Pengerusi Majlis Syariah Kesatuan Kewangan Islam Sedunia (AAOIFI) yang juga Naib Presiden Darul Uloom, Karachi, Syeikh Mufti Taqi UThamni telah berusaha berkongsi pandangan sebagai mewakili majoriti besar ulama dan ahli ekonomi Islam berkenaan system matawang.

Beliau cuba membawa menyedarkan pemimpin-pemimpin Negara maju untuk membuat satu perubahan radikal jika benar-benar ingin mengelakkan berulangnya ‘serangan' kejatuhan ekonomi di masa akan datang. Sesuai dengan tema program tersebut yang cuba mencari punca dan penyelesaian bagi kegawatan ekonomi baru-baru ini.

Benar, di waktu dan ketika ini, yang praktikal adalah dengan cuba meyakinkan pemimpin Negara maju ini untuk berubah, itu adalah salah satu cara terbaik untuk mempengaruhi system besar kewangan dunia untuk berubah dan dibaikpulih sedikit demi sedikit. Memang kita boleh menunjuk ‘lagak' untuk mempertikai itu dan ini dan mengkritik system kewangan Islam dengan pelbagai tuduhan keras selagi menumpang di atas system kewangan konvensional dan menggunapakai matawang fiat kertas.

Namun pandangan ideal semata-mata yang tidak menjejak di bumi pasti akan gagal menyakinkan pemimpin Negara maju untuk berubah, lalu ia akan kekal menjadi mimpi dan idaman sahaja. Atas dasar itu, kita bersyukur dan berterima kasih atas usaha Syeikh Taqi Uthmani yang amat cemerlang. Beliau mengusulkan idea perubahan praktikal yang mesti dilakukan oleh dunia bagi menghasilkan sesebuah system kewangan yang lebih dinamik dan selamat di masa akan datang.

Salah satu cadangannya patut difahami sebaiknya oleh kita semua, selaku umat Islam sendiri. Kerana bagaimanakah boleh kita mengharapkan perubahan hanya dari minda dan tangan pemimpin barat sedang kita sendiri tidak faham apa yang sepatut dan yang tidak. Justeru, di kesempatan ini saya ingin menegaskan satu perkara sahaja. Tanpa niat untuk mengulas secara mendalam perihal matawang emas dan praktikalitinya di dunia moden, sebenarnya ada satu isu yang lebih basic dari isu tersebut, yang tanpa memahaminya, matawang dinar emas ( jika mampu dilaksana) juga akan tetap gagal dalam membentuk sebuah system ekonomi yang Islamik dan stabil. Ia adalah isu kemestian untuk mengembalikan fungsi matawang dalam Islam.

KEMBALIKAN FUNGSI ASAL MATAWANG

Imam Abu Hamid Al-Ghazali sejak 900 tahun dahulu telah menegaskan fungsi asal dan asas bagi matawang menurut perspektif Islam. Beliau berkata
"Penciptaaan dirham dan dinar ( matawang emas dan perak) adalah benar-benar satu rahmat dari Allah ta'ala, kedua-duanya pada hakikatnya tiada nilai tersendiri yang boleh dimanfaatkan oleh manusia ( seperti untuk makan dan minum), tetapi akhirnya semua manusia memerlukannya disebabkan semua manusia memerlukan nilai suatu komoditi (barang) untuk ditukarkan bagi mendapatkan keperluan asasi makanan dan pakaiannya. Atas sebab itu, transaksi yang melibatkan pertukaran barangan antara satu sama lain tidak dapat dielakkan, Namun masalahnya, bagaimana untuk diukur nilai sesebuah barang dan ditetapkan harganya? Justeru keperluan itu, semua barangan keperluan ini memerlukan satu barang perantaraan yang boleh menjadi ukur rujuk bagi nilai. Maka itulah gunanya dinar dan dirham ini (wang emas dan perak), kedua-dua logam berharga itu akan menjadi ukuran nilai sesuatu barangan lain kerana KEDUANYA TIDAK MENJADI OBJEKTIF jual beli, ia hanya menjadi perantaraan, jika kedua menjadi OBJEKTIF seluruh system ekwangan akan ROSAK DAN TERGANGGU. Kerana itulah Allah menciptankannya, melalui perantaraannya, pertukaran barangn kepelruan yang menjadi sasaran dan oibjektif jual beli akan terjamin keadilannya."

Dari penerangan Imam Al-Ghazzali ini, jelas pendirian ekonomi Islam berkenaan matawang tidak kira ia dari jenis emas, perak atau kertas fiat adalah:-

a) Matawang mestilah hanya sebagai perantara bagi tranksaksi jualbeli komoditi sebenar sahaja dan ia sendiri BUKAN komoditi.

b) Matawang mesti menjadi panduan ukuran nilai sesuatu barang keperluan.
Kedua-dua syarat di atas saling berkait, tanpa salah satu, ia akan gagal menjadi matawang yang dikehendaki oleh Islam.

Ini juga konsep yang telah diakui tepat oleh para ahli ekonomi seluruh dunia, khususnya Muslim economist. Malangnya, di ketika ahli cerdik pandai ini menyarankan dan mengakuinya, pemimpin politik dan taikon kewangan dan regulator badan utama kewangan dunia tidak mahu menrima pakai cadangan dan pandangan tersebut, ia tidak lain adalah akibat ketamakan melampau puak korporat dan politik ini.
Kesannya, hari ini matawang selain dijadikan sandaran nilai dan medium perantara jualbeli, ia sendiri telah dijadikan sebagai KOMODITI yang juga barang yang dijual dan dibeli.
Dalam bahasa mudahnya, emas dan matawang sendiri dijadikan sebagai objektif dalam sesuatu transaksi jualbeli, ia sepatutnya hanya menjadi perantara namun kini, fungsinya telah disalahgunakan sehingga menjadi barang jualan dan akhirnya menyebabkan nilainya tidak lagi stabil (fluctuate). Ini mencacatkan fungsinya yang sepatutnya dijadikan sandaran atau ukuran bagi nilai komoditi lain.

Matawang yang dijadikan sandaran nilai sepatutnya mempunyai nilai yang hampir tetap, tidak terlalu banyak berubah dan bergerak. Hanya dengan itu, inflasi dapat dikawal dan jualbeli menjadi stabil dan keadilan tersebar. Namun apabila matawang hari ini di jadikan komoditi, nilai sendiri tidak terkawal. Selain melihat nilai matawang kertas, cuba lihat juga nilai emas hari ini, bukankah ia juga turun naik dengan agak kerap..itu tanda emas yang wujud hari ini diperlakukan secara salah oleh manusia. Atas sebab itu, hatta jika hari ini kita sibuk menginginkan emas untuk dijadikan matawang, namun dengan sikap dan attitude yang menggangap matawang sebagai komoditi, emas dan perak itu sendri pun akan gagal berfungsi sebagai matawang yang diinginkan oleh Islam. Sebab itulah, perlu difahami, kejayaan menjadikan emas sebagai matawang belum boleh dianggap satu kejayaan mengislamkan ekonomi sama sekali, malah masih amat jauh. Malah, apa yang lebih perlu diperbetulkan adalah sikap, kefahaman dan system regulasi kewangan dunia hari ini.

Sistem matawang emas dan perak ini pun bukanlah diperkenalkan oleh Rasulullah, malah ia telah wujud sebelum dari kebangkitan Rasulullah. Islam menerima pakai dua logam berharga itu sebagai matawang dan hanya mampu di "ISLAMKAN' apabila syarat-syarat urusniaga matawang yang digariskan oleh baginda Nabi DIPENUHI. Justeru, hanya memperjuangkan matawang emas bukan segala-galanya bagi sebuah ekonomi dan kewangan Islam.
Justeru, janganlah ada yang menyangka bahawa system kewangan Islam akan hanya menjadi benar-benar Islam apabila menggunakan emas dan perak sebagai matawang. Tidak semudah itu. Malah dengan fiat money ini juga system kewangan Islam mampu dicapai jika regulasi dan pengurusan matawang berjaya direfomasikan kepada cara yang betul, sama ada cara ia dikeluarkan, edaran, kawalan dan penggunaannya. Untuk bacaan lanjut : klik disini

Friday, March 5, 2010

Buka Minda Anda untuk Berjaya.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada pembaca sekelian. Tujuan utama blog ini diwujudkan adalah untuk berkongsi ilmu dan pengalaman hidup yang serba serbi mencabar pada masa kini. Sedarkah anda untuk Berjaya apa yang diperlukan. Adakah anda sudah Berjaya?? bolehlah berkongsi ilmu disini kerana setiap ilmu manfaat yang anda hebahkan yang dapat mengurangkan atau menyelesaikan masalah orang lain akan mendapat balasan yang baik, tidak di dunia di akhirat, InshaAllah. Untuk berjaya apa yang diperlukan ialah ilmu. Oleh itu carilah ilmu yang bermanfaat untuk diri anda untuk diguna pada kehidupan kita sehari-hari. Ditambah pula zaman IT kini yang membolehkan kita memperolehi ilmu dengan mudah tidak kiralah dari segi membaca atau menonton klip video. Tapi, pastikan anda cari ilmu-ilmu yang berguna dan bukannya ilmu yang merosakkan. Tanpa ilmu kita tidak akan kemana-mana ditambah pula dengan pesaing kini yang hebat dan kretif.

Contoh:
Anda seorang pemegang sijil kejuruteraan lepasan politeknik. Apa yang anda boleh dapat dengan sijil yang telah anda perolehi itu?? Fikir-fikirkanlah. Dengan ruang kerja yang semakin mencabar ditambah dengan pesaing anda yang lebih tinggi kualiti pendidikannya apa yang akan terjadi pada anda?? Berapa gaji yang akan anda dapat dengan sijil anda itu?? Sedarlah disektor swasta untuk fresh graduate tidak lebih dari RM1200 gaji untuk sijil anda itu. Adakah itu mencukupi?? Ditambah pula dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan minyak yang sentiasa naik adakah gaji itu cukup untuk anda?? Bagaimana kalau tidak sampai pun seribu gaji anda itu, cukupkah?? Setiap tahun kenaikan gaji hanya 4 - 8%, tapi anda kena ingat berapa banyak kadar kenaikan inflasi dalam setahun?? Dulu isi minyak motor kriss RM3 sudah penuh, sekarang RM5 belum tentu penuh, perbezaan 2 ringgit hanya untuk minyak, baru motor bagaimana dengan kereta?? Bagaimana dengan barang-barang lain?? Semua kos itu anda kena tanggung setiap hari sedangkan gaji anda naik setahun hanya sekali, Alhamdulillah jika naik, jika tidak?? Makin parahlah kehidupan anda.

Kesimpulannya dengan ilmu yang betul, InshaAllah akan dapat menyelesaikan masalah anda. Yang penting sentiasa ingat pada pencipta kita dan sentiasa patuh atas segala arahan dan larangan yang telah ditetapkan untuk kita, sentiasalah bersyukur dengan apa yang ada. InshaAllah saya akan kongsikan ilmu-ilmu yang berguna untuk kehidupan kita pada masa akan datang. Tunggu…. Sekian Terima Kasih kerana sudi membaca artikel saya yang pertama.
Newer Posts Home